October 06, 2010

Masa adalah penawar yang baik

Ada satu rasa yang terbuku
Terpencil dalam hutan kertas-kertas putih
Ingin kubakar
Apinya telah lama dipadam
Ingin kusimpan
Kelak debunya menyesakkan nafas..
Ingin kurenyuk; hancur lunyai
Lumpuh sudah tangan ini
Mungkin sahaja dibiarkan
Anai-anai mengunyah manis rasa itu..

Black sapiens
di suatu tempat dan masa yang tidak diingati


Tentang puisi di atas:

Ini adalah puisi lama yang diperam di sebalik timbunan sampah sarap puisi-puisi lain. Jadi, puisi lama ini memang tidak menggambarkan atau mewakili apa sahaja yang aku rasa sekarang.

Cumanya, tentang dua baris terakhir:

Mungkin sahaja dibiarkan
Anai-anai mengunyah manis rasa itu


Sangat memberi kesan dan relevan dengan hidup aku sekarang. Jujurnya, puisi itu ditulis untuk menggambarkan keadaan aku yang sedang dilanda masalah, tetapi tidak mampu untuk bersuara menyatakan masalah tersebut, juga tidak mampu untuk mengambil apa-apa tindakan untuk menyelesaikan dan memulihkan kembali keadaan (aku fikir, masalah yang dimaksudkan adalah masalah hati dan perasaan)

Jadinya, anai-anai dalam puisi di atas adalah mewakili masa. Aku membiarkan anai-anai mengunyah manis rasa itu sama juga seperti aku membiarkan masa yang bertindak untuk memulihkan segala rasa.

Maka, untuk masalah hati dan perasaan yang sangat mengganggu jiwa dan raga (pada satu masa yang telah berlalu), aku mahu katakan dengan kuat, seperti ini:

Setelah beberapa masa berlalu, aku semakin pulih dari sakit ‘menyimpan rasa terhadap kamu’

No comments:

Post a Comment