September 15, 2010

Ulang dan ulang

Perkara yang diulang ulang, lamanya akan menjadi satu kebiasaan. Dan kebiasaan itu yang dinamakan tabiat. Dan tabiat itu adalah sesuatu yang boleh diubah, tetapi agak sukar diubah. Diklasifikasikan boleh diubah kerana pada awalnya ia hanyalah satu perkara yang bukan kebiasaan, tetapi diulang ulang.

Sekali lagi, diulang ulang.

Kalau kita bercakap tentang skop belajar, maka perkara yang diulang ulang itu perlu, untuk menambahkan daya ingatan dan kadar kefahaman. Contoh mudah, kita berulang ulang kali membaca dan membuat latihan tentang tajuk osmosis. Jadi lama kelamaan kita dengan sendirinya akan master dengan tajuk tersebut.

Tetapi jika perkara yang diulang ulang itu diulas dari skop perangai atau perbuatan, maka bertemulah kita dengan istilah yang dinyatakan sebentar tadi iaitu tabiat. Secara semulajadinya , tabiat ada yang positif dan ada yang negatif. Terpulang kepada kamu yang membaca untuk menjustifikasikan sendiri nilai negatif dan positif tersebut. (aku malas mahu bagi contoh)

Tetapi sebenarnya, dari skop perkataan aku fikir apa yang diulang ulang itu mungkin sedikit memberi kelainan. Tetapi ini bergantung kepada diri masing-masing.

Contoh mudah. Merujuk kepada pasangan kekasih yang sedang bercinta. Umum mengetahui perkataan yang selalu diungkapkan dan diulang ulang sewaktu bercinta adalah seperti: I love you, I miss you, take care and so on. Aku fikir di awal percintaan ungkapan ungkapan yang diulang ulang ini sangat mungkin memberi makna dan erti kepada orang yang diungkapkan. Tetapi selepas beberapa tahun, kalaupun pasangan kekasih ini masih kekal hubungan mereka, percayalah bahawa ungkapan ungkapan ini sudah kurang nilainya. Kurang nilainya kerana selalu diulang ulang.

Mungkin dari sudut lain, mereka yang bernama wanita sangat suka dengan ungkapan ungkapan sebegitu tetapi bagi diri aku, aku fikir ungkapan ungkapan itu mungkin tidak perlu, sekiranya tujuan diungkapkan tidak selari dengan perasaan pada ketika itu.

Wah, agak kompleks untuk dijelaskan.

Mudahnya begini. Ungkapan tersebut sekiranya diulang ulang setiap hari, lama kelamaan nilainya akan hilang kerana ia bukan lagi lahir dari dalam, tetapi sebenarnya menjadi satu perkara rutin. Atau perkara wajib (kerana jika tak diungkap cik awek akan merajuk). Atau yang lebih tepat kerana telah TERBIASA. Dan terbiasa itu yang membuatkan nilai ungkapan itu semakin berkurangan.

Jadi dari skop perkataan, mungkin ungkapan seperti di atas tidak perlu diulang ulang setiap hari tetapi cukuplah pada hari hari tertentu sahaja, asalkan dengan sepenuh perasaan.

Analogi lain: kalau hari hari kita sedekahkan ayam masak merah kepada jiran kita yang miskin, lama kelamaan dia sendiri sudah tidak teruja dengan ayam masak merah tersebut. Kecuali ayam masak merah tu kita tukarkan kepada ayam masak hitam, masak kuning, masak hijau, masak warna warni.

p/s: ungkapan ‘maaf’ setahun sekali pada hari raya juga kadang kadang sangat memberi makna kepada orang – orang tertentu.

Sekian. Ulanglah perkara yang perlu diulang.

No comments:

Post a Comment