September 21, 2010

Babak dia adalah babak aku

Ada beberapa babak dalam hidup, yang aku tidak suka. Atau dalam ayat lain, aku berharap babak babak itu tidak berlaku dalam hidup aku. Tetapi hakikatnya babak babak itu sudah pun muncul dalam hidup aku, walaupun aku tidak suka.

Yang normalnya, babak babak itu berlaku juga dalam kehidupan manusia manusia lain. Ini adalah biasa. Dan aku yakin, manusia manusia lain itu juga seperti aku, tidak suka dengan babak babak tersebut. Tetapi sekali lagi, kami tiada pilihan (atau kita sebenarnya) untuk memilih babak babak yang disukai.

Dalam semua babak babak yang aku tidak suka, ada satu babak yang sama dengan seorang manusia yang aku kenal. Jadi aku dan dia, kami sama sama memahami bagaimana rasanya berada dalam babak tersebut. Hanya kami yang terperangkap dalam babak tersebut dapat menelan pahitnya rasa yang bermukim dalam hati.

Tetapi setelah beberapa tahun, pahitnya rasa itu semakin hilang dari dalam hati aku. Sungguhpun rasa manis itu belum datang, tetapi sekurang kurangnya rasa pahit itu semakin hilang, semakin tawar, semakin neutral.

Tetapi manusia itu?

Manusia itu masih lagi seorang manusia yang mempunyai rasa. Cumanya aku tidak pasti rasa apa yang ada dalam hati dia. Adakah dia masih merasai secalit kepahitan atau sebenarnya dia sudah lemas dalam rasa manis yang menggila?

Memerhati dari jauh, aku fikir dia masih menelan rasa pahit yang maha dasyat. Aku yakin yang dia telah cuba membuang dan melupakan babak yang tidak disukai tadi dari dalam hidup dia, sama juga seperti aku. Tetapi malangnya cara yang dipilih untuk membuang babak tersebut tidak sama seperti aku.

TIDAK SAMA. BERBEZA. BERLAINAN

Dan aku sungguh kecewa dengan manusia itu.

Cara yang dipilih oleh aku, telah melahirkan siapa aku yang sekarang. Dan cara yang dipilih oleh dia, telah melahirkan siapa dia yang sekarang.

Tetapi kerana manusia itu adalah seseorang yang pernah rapat dengan aku, maka aku cuba memahami situasi dia, atas alasan babak yang sukar, susah dan sedih itu, juga adalah babak dalam hidup aku.

No comments:

Post a Comment