August 25, 2010

Semoga panjang umur

Setiap tahun, setiap kali hari lahir datang menjelma, berbakul bakul ucapan hari lahir yang akan kita terima daripada manusia manusia lain. Dan aku kira ucapan yang paling normal atau klise yang akan kita terima ialah ‘semoga panjang umur dan murah rezeki’.

Kita tolak sebentar bahagian bertambah rezeki tersebut. Hari ini aku mahu fokus ‘semoga panjang umur’.

Berhenti sejenak sambil memikirkan, kenapa mesti panjang umur ya?

Logiknya aku fikir semua orang suka mungkin bila umurnya panjang. Bila umur panjang, dia dapat buat banyak benda, dapat lihat banyak benda, dapat gambaran tentang dunia seluas mungkin. Ah, tak perlu mungkin aku huraikan apa yang bahagianya bila umur panjang ni. Aku yakin kamu yang membaca ada justifikasi tersendiri.

Tetapi kalau kamu yang membaca bertanya justifikasi aku, jawapannya mudah sahaja. Bagi aku apa yang ‘bahagianya’ bila umur panjang ini ialah semakin bertambah kompleks masalah yang menuntut sebuah keputusan.

Atau dalam ayat lain, seorang guru Sains akan membuat hipotesis seperti ini: semakin bertambah panjang umur, semakin bertambah kompleks masalah dalam hidup.

Atau seorang guru bahasa mungkin akan berkata seperti ini: semakin bertambah umur aku, semakin panjang usia aku, semakin banyak masalah yang datang menyapa sehinggakan aku sendiri tidak tahu jalan keluar yang sepatutnya dipilih. Angin tolong sapa aku dengan hembusan yang nyaman, agar aku boleh mencipta satu keputusan yang tidak samar. (wah, panjang benar seorang guru bahasa berkata kata!)

Jadi itulah justifikasi panjang umur bagi aku. Kronologinya adalah seperti berikut.

Beberapa tahun yang lepas, sewaktu berumur enam atau tujuh tahun, keputusan yang paling besar perlu aku (atau kita mungkin) buat adalah pensil yang mana paling bagus untuk dibuat alat menyalin kerja sekolah di papan hitam. Kita terpaksa mungkin memilih antara pensil kayu atau pensel tekan. Pensel 2B atau 1B. Pensel hitam atau pensel biru, atau pink, atau hijau, atau kuning. Bila sudah berkenan, minta sahaja duit daripada ayah, kemudian dapatlah sebatang pensel pilihan hati. Mudah bukan?

Beberapa tahun lepas, selepas peperiksaan UPSR, masalah aku (baiklah, aku setia dengan aku sahaja, kerana ini betul-betul masalah aku dahulu,bukan kita)sedikit kompleks daripada masalah kamu memilih pensel tadi. Darjah kekompleksan memang bertambah kerana aku terpaksa memilih sekolah menengah yang paling sesuai. Pilihan yang ada, sekolah menengah harian, sekolah menengah kebangsaan agama dan maktab rendah sains mara. Dan pada akhirnya masalah tersebut berakhir dengan keputusan aku memilih sekolah menengah kebangsaan agama. Tetapi percayalah, masalah ini memang lebih kompleks daripada masalah memilih pensel tadi. (senyum)

Darjah kekompleksan bertambah lagi apabila selesai SPM. Aku kira masalah ini mungkin sama juga seperti kamu yang membaca, kerana kita berada dalam kapal yang sama, mencari haluan untuk meneruskan arus kehidupan. Kebanyakan daripada kita memang berkeinginan untuk sambung belajar, tetapi laluannya bagaimana? Sijil dulu atau diploma dulu? Diploma dulu atau matrikulasi dulu?atau maktab? atau politeknik?atau kolej-kolej swasta? Jadi aku fikir, masalah ini memang lagi kompleks dari masalah untuk memilih sekolah tadi.

Sambung kembali.

Setelah setahun di matrikulasi, (ya, aku memilih matrikulasi) maka tibalah waktu untuk membuat keputusan yang lebih lebih sangat kompleks. Tibalah masanya untuk membuat pilihan bidang kursus yang bersesuaian dan akan menjamin masa hadapan. Aku tidak tahu kamu yang membaca bagaimana, tetapi bagi diri aku sendiri, sungguh ini adalah keputusan yang sangat sukar pada tahun itu. Memang sukar untuk membuat pilihan kerana pilihan yang tersedia di hadapan mata bukanlah pilihan yang sebenarnya.(oh, ini mungkin perlu satu entri baru).

Secara kasarnya itu adalah kronologi masalah masalah yang mencerminkan darjah kekompleksan yang meningkat dari setahun ke setahun. Bermula dari pensel, sekolah dan pilihan kursus. Ini cuma sebahagian. Aku yakin kamu yang membaca juga ada masalah tersendiri dengan darjah kekompleksan yang berbeza.

Dan percayalah, ini cuma sebahagian (sekali lagi). Saban tahun, ada masalah lain lagi yang akan muncul. Ini aku belum masukkan masalah cinta, masalah memilih pasangan hidup, masalah memilih kerja, tempat kerja, bla blaa blaaa…

Jadi rumusannya di sini, seorang guru agama akan berkata seperti ini: semakin panjang umur, semakin panjang kualiti ukuran amal ibadah kita.

Sekian. Oh, sebelum terlupa, semoga panjang umur ya!

No comments:

Post a Comment