December 28, 2010

Lagi tentang perkhabaran terbaru

Ini adalah entri untuk menceritakan perkembangan terbaru tentang diri sendiri.

Baiklah, sudah sah akan mengajar subjek BM, Sivik dan Sejarah untuk pelajar tingkatan 1 dan 2. Jujur, menerima tanggungjawab ini dengan hati yang redha, walaupun masih belum pasti dengan keupayaan sendiri. Harapnya, semua berjalan lancar. Tetapi kalau sesekali tidak lancar, biasalah,ini perkara normal.

Orang cakap, susah ajar subjek BM untuk pelajar Cina. Benarkah?ok, izinkan aku ketawa dahulu…hahahaha..(lega)

Aku sebenarnya tiada komen untuk perkara di atas, kerana belum pernah mengajar BM kepada pelajar Cina lagi. Tetapi berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa sewaktu praktikal dahulu, komen aku adalah: ya, benar ada kesusahan di situ.

Benar ada kesusahan di situ kerana masih ramai bangsa Cina yang tidak mahir bertutur dalam bahasa kebangsaan (berdasarkan pemerhatian aku).

Dan satu lagi, BM itu sendiri adalah satu bahasa yang sering berubah-ubah hukum tatabahasanya. (kalau tidak percaya, perkara ringkas yang kamu boleh lakukan adalah membandingkan apa yang kamu belajar sewaktu zaman sekolah menengah dahulu dengan apa yang dipelajari oleh budak sekolah zaman sekarang)

Jadi itu tentang BM. Mari sentuh sedikit tentang Sejarah.

Jujur aku dapat rasakan subjek Sejarah itu memberikan beban yang lebih berat di bahu. Lebih berat kerana aku tidak mahir dan tidak minat. (aku bersetuju dengan kajian beberapa pihak sebelum ini yang menyatakan golongan muda buta sejarah negara, kerana aku adalah salah seorang daripada golongan muda tersebut.)

Aku pernah bertanya kepada seorang kawan berbangsa Cina, begini: kenapa you tak suka sejarah?

Jawapannya: “Sejarah manyak boring maa. Dalam itu sejarah, saya hanya belajar tentang orang melayu saja. Tentang orang cina sikit saja. Saya orang cina, mau belajar tentang cina lah.”

Serius, jawapan itu ada benarnya. Dan tergamam juga aku mendengarkan jawapan tersebut. Apa mahu jawab?

Jadi, kalau kamu punya banyak masa, fikir-fikirkanlah respon yang terbaik untuk perkara di atas. Aku jujur, yang aku tidak tahu.

Tentang Sivik?

Sivik talak exam punya cikgu. Buat apa mau belajar? – respon pelajar praktikal, yang aku fikir sudah dapat memberi gambaran kepada kamu di mana susahnya.

Inilah, sedikit gambaran awal tentang apa yang akan aku tempuhi dalam tahun pertama sebagai seorang guru. Oh, bukan guru, pendidik sebenarnya.

Untuk semua kawan-kawan, selamat berkhidmat dengan penuh ikhlas. Kalau sesekali terpukul dengan beban tugas, ataupun sesekali emosi tercalar dengan kerenah pihak atasan, mohonlah agar terus diberi kekuatan dari Dia.

p/s: aku mahu senyum sahaja, kerana jadi cikgu dapat banyak pahala.

No comments:

Post a Comment