January 08, 2011

Tulis puisi itu senang?

Ada orang cakap tulis puisi senang.

Disebabkan aku bukan orang itu, jadi aku tidak bersetuju dengan ‘tuduhannya’ yang mengatakan menulis puisi tu senang.

Tolonglah! (sila baca dengan nada sinis bercampur menyampah)

Kecuali orang itu memang benar-benar hebat. Dan hebat di sini bergantung kepada si penilai itu sendiri. Dan bagi aku untuk menilai sesuatu yang bernilai, tidak semudah kita menggoreng pisang untuk minum petang, tetapi sesukar kita membuat cekodok (atau cokkodok? Atau cucur kodok?)-sebab cekodok kena bentuk bulat-bulat yang comel, pisang tak perlu.

Aku pernah mengulang selak kembali beberapa puisi aku sewaktu zaman sekolah rendah dan sekolah menengah. Dan jujur, perkataan yang keluar dari mulut aku adalah: “eeii..apa benda yang aku tulis ni?”

Nak termuntah rasanya membaca puisi-puisi lama tersebut. Atau mungkin tak layak pun dipanggil puisi. Hampir kepada sampah yang intinya adalah secarik luahan hati yang lara.

Tetapi lebih dari itu, aku sedar yang aku belajar untuk membaiki puisi-puisi tersebut dari masa ke masa. Dan sehingga kini, aku mengaku aku masih belajar; kerana aku sedar puisi-puisi aku masih lagi gumpalan sampah, yang intinya sekarang lebih dari secarik luahan hati.

Jadi, bila ada yang mengatakan menulis puisi itu senang, (atau lebih tepat memperlekeh-lekehkan puisi aku), aku tidak dapat menipu bahawa ada zarah-zarah kecewa (dan terkilan bercampur sedikit sakit hati) bertunas dalam diri aku.

Sebelum itu, tolong jangan salah faham yang aku minta dipuji ataupun disanjung, AKU CUMA MAHU KOMEN YANG JUJUR DAN IKHLAS. Itu sahaja.

Bagaimanapun, terima kasih kerana sudi membaca sampah-sampah dalam hati aku. Kalau berminat, selepas membaca boleh terus simpan, tetapi kalau tidak suka, boleh buang terus dalam kertas hitam.

p/s: Dah lama tak menulis puisi, sebab aku sendiri tak tahu puisi itu apa.

No comments:

Post a Comment