June 23, 2010

Doktor psikologi

I
Dia meminjam kasut seorang doktor. Doktor psikologi untuk penjelasan yang lebih lebar. Selebar ruang yang telah memerangkap dia. Dia memandang wajah di hadapannya lantas seulas senyuman diberikan separa ikhlas.

“Puan, puan jangan risau. Masalah puan ini biasa sahaja, seperti masalah yang dihadapi oleh kebanyakan kaum wanita yang lain. Sekiranya puan memandang perkara ini dari sudut positif hati puan akan lebih tenang, jiwa puan akan lebih lapang dan puan akan dapat rasakan kebahagiaan alam rumah tangga yang sebenar. Siapa tahu, dengan poligami ini puan akan lebih mengenal diri puan sebagai seorang isteri. Yang penting, puan mesti ingat bahawa Dia mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.”

Riak wajah di hadapannya itu berubah. Mulutnya yang sedia mancung dimancungkan lagi semancung yang mampu sambil matanya menjeling tajam. Perlahan, dia mengangkat punggung gempalnya seraya berlalu keluar tanpa sepatah kata.

Kosong.

Dia memandang syiling di atas sambil memerhati gerakan kipas yang laju. Pusingan kipas yang laju itu sama juga seperti pusingan dalam kepalanya. Serabut. Kucar kacir. Sebelum wajah di hadapannya tadi itu muncul, dia sudah berhadapan dengan wajah yang tidak kalah darjah kemasamannya. Jika diukur tahap keasidannya mungkin nilainya menghampiri satu. Wajah berasid satu itu mengadu perihal dirinya yang jatuh cinta dengan seorang pemuda yang selalu datang ke rumahnya menjual karpet, dengan harga yang bisa menggelapkan mata, tatkala suami yang semakin kurang nilaian cintanya membanting tulang mengira peluh di luar.

Sebentar tadi juga ada wajah yang mengadu perihal dirinya yang bukan menantu pilihan mertua, lantaran berkahwin tanpa restu keluarga si lelaki. Wajah itu mengaku bahawa cinta si raja hati tidak pernah berkurang; cumanya jiwa diri sendiri semakin sakit menahan derita penderaan mental dan emosi yang ditujahkan bertalu-talu oleh mertua dan ipar.

Dia memandang lagi kipas di atas. Pusingan putaran kipas itu mengingatkannya kembali pada wajah yang mengadu menjadi hamba nafsu adik ipar sendiri. Adik ipar yang menjadi adik kesayangan suaminya. Benar, panggilan adik kesayangan itu menjadi tiket untuk si adik berbumbungkan rumah yang sama dengan dirinya. Secara realistic dia tidak pernah kisah dengan status si adik yang menumpang rumahnya dan suami, walaupun si adik belum lagi bekerja dan hanya menjadi penunggu rumah. Dan dia sendiri memilih untuk melepaskan jawatannya yang tinggi di satu syarikat semata-mata ingin melayan si suami dengan lebih baik. Dia mahu menjadi isteri yang serba sempurna di mata suami. Dia mahu melayan suaminya seperti raja, dia betul-betul mahu suaminya melihat dirinya yang serba sempurna sahaja. Ironinya, situasi itu hanya mampu bertahan dua bulan selepas pemberhentiannya dari kerja, lebih dari itu, dan sehingga kini, dia hanya menjadi hamba kepada adik ipar sendiri. Hendak diadu kepada suami tetapi dia yakin suami tidak akan percaya, lantaran status adik kesayangan yang sangat besar peranannya.

ii
Doktor psikologi itu masih merenung putaran kipas yang laju di atas kepalanya yang separuh botak. Dia terfikir, apakah kipas di atas kepalanya itu tidak pernah berasa penat walau sesaat? Apakah kipas itu tidak pernah berasa letih berpusing sebegitu? Apakah kipas yang satu itu tidak pernah berasa ralat mengorbankan diri sendiri untuk memberi kesejukan kepada orang lain?

Dia melihat dirinya. Dia mengaku dia penat. Dia penat melayan kerenah-kerenah pesakit jiwa dan emosi di hadapannya. Kepenatan yang hebat itu bertambah-tambah apabila nasihat dan pandangan yang diberikan hanya di pandang sebelah mata oleh pesakitnya.

“Kalau tak mahu dengar nasihat doktor, jangan datang jumpa aku lah!” dia merungut sendiri. Mengeluh. Nafas ditarik panjang. Dia cuba melelapkan mata, mahu melapangkan isi otak yang berselirat, tetapi seraya itu juga wajah-wajah pesakitnya muncul berpusing-pusing di kepalanya.

“Doktor, suami saya…., doktor, anak saya…., doktor, isteri saya…doktor, mak saya…, doktor, bos saya…doktor, doktor, doktor!”

Ah! Dia mengeluh lagi.

Tangannya menarik nama senarai pesakit hari ini. Masih berbaki lima orang semuanya. Tiba-tiba dia menjadi resah. Entah apa pula masalah mereka ini. Kadang-kadang dia berasa muak. Mual dengan setiap masalah yang diceritakan. Cerita-cerita itu kadang-kadang sudah berulang kali didengarnya, cuma penceritanya sahaja yang berbeza. Tetapi dia terpaksa memaniskan juga mukanya di hadapan pesakit, supaya mereka selesa dengannya, supaya mereka tidak malu untuk bercerita. Siapa tahu, dalam hati dia terasa bernanah-nanah telinganya mahu menadah dan menghadam segala cerita itu.

Mungkinkah sebenarnya dia telah tersalah memilih kerjaya?

iii
Petang itu usai menadah telinga di hadapan pesakit-pesakitnya, dia mendail nombor kawan karibnya sewaktu di university dahulu. Dia mahu lupakan segala cerita berkaitan pesakitnya. Di mahu bicara soal lain dengan kawan karibnya itu. Bicara tentang kereta, bicara tentang bola, bicara tentang hal-hal lelaki.

“Ok, jumpa kau tempat biasa. Aku pun ada benda nak cerita kepada kau ni.”

Doktor psikologi itu tersenyum puas mendengar jawapan kawan karibnya itu. Kawannya itu juga seorang doktor psikologi, sama seperti dirinya. Tetapi dia tidak pasti adakah kawan karibnya itu menghadapi masalah yang sama dengan dirinya.

Ya, untuk seketika waktu dia tiba-tiba terfikir apakah kawannya itu tidak pernah berasa mual mendengar masalah-masalah pesakitnya? Apakah kawan karibnya itu tidak terasa seperti tersalah memilih kerjaya? Apakah kawan karibnya itu tidak pernah berasa jelik dengan pesakit-pesakit di hadapannya yang datang mengadu segala cerita?

Oh, dia tak mahu lagi berfikir tentang perkara ini. Sudah seharian dia terperangkap dengan isu yang menghentikan nafasnya tadi. Cukuplah, dia mahu bebas sebentar. Dia mahu lupakan segalanya yang berkaitan dengan pesakit-pesakitnya. Dia mahu tenang sebentar. Ya, sebentar kerana esok pagi dia akan berhadapan dengan situasi yang sama. Ah, sakit!

iv
Dari jauh bola matanya sudah dapat menangkap kelibat tubuh kawan karibnya itu. Semakin lama tubuh itu semakin mengecil dan mendekat dengan dirinya lalu melabuhkan punggung di atas kerusi empuk bertentangan dirinya.

Dia mengukir senyuman, kali ini bukan lagi separa ikhlas seperti ditujukan kepada pesakitnya. Kali ini dia betul-betul mahu senyum, bebas dari segala cerita.

Lama dia dan kawan karibnya itu berborak. Sembang-sembang lelaki. Dia berasa puas. Terasa semangat baru menyelinap masuk dalam ruang hatinya yang kecil itu. Dia mula berkira-kira untuk pulang sementelahan badannya terasa begitu melekit.

“Eh, apa benda yang kau nak cerita tadi? Aku dah nak pulang ni. Nanti isteri aku di rumah merajuk pula. Haha.” Dia bersuara seraya ketawa puas.

Kawannya juga menyambut tawanya itu dengan tawa. Tetapi dia tidak tahu, tawa kawan karibnya itu adalah separa ikhlas.

“Isteri kau ok?” soalan itu terpacul keluar dari mulut kawan karibnya.
“Macam kau kenal dulu. Ok”
“Emm…aku ada jumpa dia baru-baru ni. Dia ada beritahu kau?”
“Huh?bila?dia tak beritahu aku pun. Kau jumpa dia di mana?”
“Di klinik aku.”

Saat itu juga dia terasa semangat yang menyelinap masuk ke dalam ruang hati kecilnya itu menyusup keluar dengan laju. Hatinya yang kecil semakin kecil. Dia terasa pandangannya gelap. Sayup-sayup dia terdengar kembali rengekan dan aduan para pesakitnya. Dan saat itu juga dia terasa mahu berjumpa seorang doktor psikologi. Doktor yang lebih pakar daripada dirinya.

Apakah kita semua sebenarnya adalah mangsa emosi sendiri?

No comments:

Post a Comment