June 17, 2011

tolong kembalikan apa yang hilang

Dalam malam yang kian pekat, sendirian termangu di depan laptop, sambil membaca cerita hidup manusia-manusia lain, fikiran aku menjadi kosong. Kosong sekosong kosongnya.

Tetapi hati aku tidak begitu. Hati aku sedang penuh dengan warna dan juga huruf-huruf. Sesak.

Hati yang sesak, sesesak lalulintas Pulau Pinang yang hari-hari aku tempuhi untuk pergi ‘bersembang’ dengan pelajar-pelajar, ada sedikit rasa risau datang menjengah.

Ceritanya, dalam hati aku ada banyak ruang. Ruang untuk kawan-kawan, ruang untuk Tuhan, ruang untuk keluarga, ruang untuk kasih sayang, ruang untuk cinta, ruang untuk bersosial dan ruang yang tidak tersenarai di sini.

Dalam semua ruang yang aku cipta sendiri, aku pernah menutup terus satu ruang, yang aku fikir aku sudah tidak perlukan lagi. Ah, tidak hiraukan mungkin. Kerana perasaan hirau itu telah aku halau terus dari hati.

“persetankan saja apa yang orang fikir. Kerana mereka tidak berada di tempat ini”

Tetapi malam ini, dengan fikiran yang kosong, aku dengan penuh rasa hormat dan merendah diri, ingin menjemput kembali ruang itu, kembali bermukim dalam hati ini, dalam ruang badan ini.

“tolong kembalikan apa yang hilang”

No comments:

Post a Comment